Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Salman Hamat, Ahmad Tajol Ansar Ibrahim dan Shanty Nur Shaffizan Shafeeam@hmetro.com. my
PETALING JAYA: Seorang pekerja yang terselamat dalam kejadian pasar raya lama runtuh di Seksyen 14 di sini, petang semalam terpaksa berlari sekuat hati apabila melihat dia seolah-olah dikejar runtuhan struktur bangunan ketika menyelamatkan diri.Pekerja kontrak terbabit yang dikenali sebagai Adi, 30, berkata beberapa minit sebelum runtuhan, dia keluar untuk membeli air bagi menghilangkan dahaga di gerai berhampiran.Bagaimanapun, katanya, tiba-tiba bangunan itu bergegar apabila melihat bangunan di belakangnya runtuh.Dia berkata, struktur bangunan yang runtuh itu seolah-olah mengejarnya dari belakang sebelum runtuh keseluruhannya.
“Ketika menyelamatkan diri, saya sempat melihat seorang pemandu jengkaut yang berada di tingkat atas bangunan cuba melompat menyelamatkan diri. Dia tidak sempat melarikan diri apabila mati dihempap runtuhan konkrit,” katanya.
Sejurus keluar dari bangunan berkenaan, dia berkata, satu lagi runtuhan susulan kuat meranapkan bangunan usang yang berusia hampir 30 tahun itu.“Apa yang saya tahu kerja merobohkan bangunan pasar raya lama itu sudah dilakukan sejak 20 hari lalu menggunakan lima jengkaut.“Ketika kejadian, kira-kira 10 pekerja sedang memasang perancah dan jaring keselamatan di bangunan berkenaan. Saya tidak pasti sama ada mereka sempat melarikan diri atau tidak,” katanya yang dalam keadaan terkejut ketika ditemui.Menurutnya, runtuhan struktur bangunan terbabit berlaku berturut-turut selama lima minit sebelum bertukar menjadi padang jarak padang terkukur.Seorang lagi mangsa yang cedera dan berjaya diselamatkan, Sale, 48, berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum lantai tempat dia berada runtuh.Katanya, dia cuba menyelamatkan diri, tetapi runtuhan itu menghempap kaki kanannya menyebabkan dia tidak mampu bergerak.“Saya bernasib baik kerana sempat ditemui pasukan penyelamat beberapa minit selepas kejadian,” katanya yang ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Syawal Mohd Ismail, 45, menyifatkan runtuhan itu amat dahsyat dan tidak ubah seperti gempa bumi.Katanya, ketika itu, dia minum di kedai berhampiran apabila terdengar bunyi jentera pemecah konkrit bekerja di bangunan yang dahulunya menempatkan sebuah pasar raya terkenal itu.“Bagaimanapun, pelanggan kedai tiba-tiba gempar apabila terdengar bunyi dentuman kuat disusuli goncangan gelas dan pinggan dalam kedai.“Saya segera keluar dari kedai dan tergamam apabila mendapati habuk tebal berkepul naik ke udara di sekeliling bangunan berhampiran.“Keadaan menjadi kelam-kabut apabila puluhan pekerja di bangunan itu bertempiaran menyelamatkan diri manakala beberapa pekerja lagi didapati berada dalam bangunan,” katanya yang menganggap kejadian berlaku dengan pantas.Dia berkata, runtuhan itu menyebabkan kawasan sekeliling diselaputi habuk tebal umpama jerebu.Setakat ini, tiga mayat sudah dikeluarkan dari tempat kejadian, dua parah manakala pasukan mencari dan menyelamat berusaha mengesan lima lagi pekerja kontrak yang terperangkap.Mayat pertama dikeluarkan kira-kira jam 5.45 petang, mayat kedua jam 10.20 malam dan mayat ketiga 1.10 pagi.
_
_
p/s:untuk pengetahuan korang,sejak 2-3 minggu kebelakangan ini, aku dan si 2 Hafiz selalu je park kat tepi jalan depan bangunan nih,sbb lunch kat belakang Digital Mall.Even mase hari kejadian tu pun,kitorang lunch kat situ..syukran yazilan takde ape2 jadi mase park kat situ! Alhamdulillah...
No comments:
Post a Comment